Cikgu Hashim bin Hj Abu Bakar (1934 - 2013)
Salam.Pada hari ini, genaplah setahun orang yang aku dan keluarga cintai iaitu atuk aku belah mak telah meninggalkan dunia yang fana ini untuk bertemu dengan pencipta yang Maha Esa. Sedih dan pilu apabila insan tersayang yang telah banyak berjasa dan berbakti pada keluarga dan masyarakat serta agama telah pergi meninggalkan kita. Tapi kita sebagai manusia yang taat dan percaya pada penciptaNya tidak akan lari dari kematian ini. Semua ciptaNya akan menemui kematian yang telah ditetapkan olehNya.
Aku bersama 5 orang adik-beradik yang lain telah dibesarkan di Kampung Berisu bersama atuk dan nenek. Kami semua membesar dan mendapat pendidikan awal dari tadika sehinggalah ke sekolah rendah dan menengah di Melaka. Arwah atuklah yang telah banyak memainkan peranan yang penting bagi kami adik beradik semasa bersekolah rendah dan menengah. Dengan latar belakang seorang guru, arwah atuk tidak pernah berhenti mencurahkan segala ilmu yang ada pada kami semua. Amatlah besar jasa dan bakti arwah atuk pada adik beradik aku dalam membentuk kami menjadi insan yang berdisplin dan patuh pada agama.
Walaupun aku ini dulu, seorang yang amat degil dan nakal masa sekolah dulu, arwah atuk tak pernah putus asa dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk aku, abang-abang dan adik aku. Aku belajar dari sekolah Berisu, pergi tuisyen di Tampin dan sehinggalah bersekolah di Selandar, arwah atuk sentiasa bersama aku memberi dorongan dan sokongan pada aku tak kira masa untuk kebaikan aku di masa depan kelak. Sehinggakan selepas SPM arwah atuk masih lagi membimbing aku, apabila aku mula-mula hendak belajar lesen kereta.
Banyak lagi jasa kebaktian arwah atuk pada adik-beradik aku. Kini abang-abang aku telah pun berjaya menamatkan pengajian masing-masing dan mencapai impian yang diimpikan. Walaupun aku (lagi satu sem) dan adik aku masih belajar, jasa dan bakti arwah atuk tidak pernah aku lupakan.
Di sini, sedikit biografi arwah atuk yang ditulis oleh abang-abang aku dahulu semasa membuat buku kajian tentang salah silah keluarga. Buku ini juga telah di semak oleh arwah atuk sendiri, semasa ianyanya di tulis. Biografi ini bertujuan untuk kita sama-sama memperingati insan yang kita sayangi ini supaya sentiasa berada di dalam hati kita dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan rohnya disana. InshaAllah.
Latar belakang
Nama penuh beliau adalah Hj Hashim bin Hj Abu Bakar.
Dilahirkan pada hari Rabu 7hb Februari 1934 di Kampung Berisu, Alor Gajah
Melaka. Ibu beliau bernama Hajah Long binti Tampang dan ayahnya bernama Haji
Abu Bakar bin Hj Sabudin yang pada ketika itu berkerja sebagai forest guard /
Ranger di Kuala Pilah Negeri Sembilan.
Pendidikan
Pada tahun 1940, sewaktu berumur 6 tahun beliau bersekolah
di Sekolah Melayu Jasin sehingga tahun 1941. Apabila Jepun menakluki Tanah
Melayu pada 8 Februari 1942 sehingga September 1945, beliau bersekolah di
Sekolah Melayu Kampung Berisu. Pada ketika itu sekolah Berisu ini di panggil ‘’
Bunsu Syogakko ‘’ dalam Bahasa jepun yang bererti Sekolah Rendah Berisu.
Sekolah ini juga pada pemerintahan jepun menggunakan bahasa jepun sebagai bahasa
penghantar di sekolah.
Apabila Tanah Melayu diperintah semula kerajaan British,
pada September 1945 beliau masih belajar di sekolah yang sama dan nama sekolah
tersebut telah pun dipulihkan kembali kepada nama asalnya iaitu Sekolah Melayu
Berisu. Pada ketika itu beliau dimasukkan ke darjah 4. Disebabkan sekolah pada
ketika itu tidak mempunyai darjah 6, maka beliau berada 2 tahun di dalam darjah
5 yang mana hanya ada tiga orang pelajar sahaja, seorang perempuan dan dua
orang lelaki. Beliau belajar di Sekolah Melayu Berisu sehingga bulan November
1948.
Selepas itu, pada tahun 1949, beliau menyambung pelajaran di
Sekolah Melayu Simpang Empat. Jarak antara rumah dan sekolah kira-kira 13 km
dan beliau ke sekolah dengan menunggang basikal sahaja, dengan melalui jalan
tanah merah pada masa itu.
Pada tahun 1950, beliau bersekolah di Sekolah Melayu Alor
Gajah di darjah 7 sehinggalah hujung bulan April 1950. Walaupun dengan hanya
berbasikal, beliau tabah untuk menempuhinya setiap hari untuk ke sekolah yang
sejauh 26 km (jarak pergi dan balik) dari rumah. Pada masa yang sama di dalam
darjah 7 ini, beliau menduduki peperiksaan untuk menjadi guru pelatih. Dengan
Izin Allah pada 1hb Mei 1950 beliau berjaya dalam peperiksaan dan dapat
memegang jawatan guru pelatih.
Kerjaya Awal
Sekolah pertama beliau mengajar ialah Sekolah Melayu
Melekek. Gaji beliau hanya RM 40 sebulan. Setelah 3 bulan mengajar di sekolah
itu, beliau ditukarkan ke Sekolah Melayu Sungai Buloh (Melaka) sehingga 13
Julai 1951. Semasa beliau masih lagi menjawat jawatan guru pelatih, beliau
mengambil peperiksaan ke Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim dan beliau
berjaya dalam peperiksaan tersebut.
Maktab Perguruan
Sultan Idris Tanjung Malim
Pada 14 Julai 1951 bersamaan hari Sabtu, kira-kira pukul 3
petang beliau berangkat dari Perhentian Kereta Api Tampin untuk menuju ke
Tanjung Malim yang mana perjalanan beliau ini di tanggung oleh kerajaan. Pada
ketika ini jugalah ancaman komunis sedang melanda Tanah Melayu. Pukul 11.00
malam beliau tiba di Perhentian Kereta Api Tanjung Malim. Setibanya beliau di
situ, bas kuning yang dipandu oleh Pak Talib dengan iringan Cikgu Md. Alif bin
Ibrahim telah sedia menunggu. Setelah memuatkan barang-barang (beg, tilam dan
bantal) ke dalam bas, beliau bersama rakan-rakannya di bawa ke maktab yang
jauhnya kira-kira 1.5 km.
Beliau ditempatkan di rumah C (Rumah Munsyi Abdullah). Pada masa itu tilam-tilam penuntut diletakkan di atas pangkin yang diperbuat daripada 5 keping papan dan kakinya di perbuat dari besi. Pada 17 Julai 1951 bermula kelas dan pengajian beliau dengan rakan-rakan di Maktab itu.
Penuntut-penuntut yang belajar di maktab tersebut diberi
wang kocek dari kerajaan sebanyak RM15 sebulan. Bapa beliau, Haji Abu Bakar bin
Hj Sabudin turut memberi wang saku sebanyak RM20 sebulan untuk menanggung kos
sara hidup di situ. Tanggal 22hb April 1954, beliau berjaya menamatkan
pembelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris setelah hampir 3 tahun pengajian
beliau di situ. Beliau pulang semula ke kampung.
Karier perguruan beliau diteruskan lagi. Pada 1 Mei 1954
beliau ditempatkan untuk mengajar di Sekolah Melayu Durian Tunggal, Melaka
sehingga 31 Ogos 1967. Kemudian pada 1hb September 1967 beliau ditugaskan di
Sekolah Kebangsaan Ujong Pasir, Melaka
sehingga 31 Disember 1979. Setelah itu, pada 1 Januari 1980 beliau kembali
berkhidmat di sekolah yang mana pernah berjasa pada beliau suatu ketika dulu,
iaitu di Sekolah Simpang Empat, Melaka dan memegang jawatan sebagai guru besar
di sekolah itu. Akhirnya, setelah 39 tahun beliau berkhidmat sebagai seorang
guru yang berdedikasi, pada tanggal 7hb Februari 1989 beliau bersara daripada
jawatannya.
Walaupun beliau tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke
sekolah menengah, beliau sempat juga bekerja sambil belajar, di mana akhirnya
beliau dapat menduduki peperiksaan SPM pada ketika itu dan lulus dalam ujian
tersebut pada tahun 1966.
Keluarga
Di dalam kesibukkan beliau menjalankan tugasan sebagai seorang guru,beliau tidak lupa akan hal ehwal kehidupannya untuk membina sebuah keluarga. Beliau bertemu jodoh dan berkahwin dengan insan yang dicintai iaitu Asnah binti Hj Bidin pada 26 Disember 1958 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. Dengan berkat kesabaran dan usaha, ketiga-tiga anak beliau telah berjaya di dalam karier masing-masing. Beliau mempunyai 10 orang cucu dan turut menjaga 6 orang daripada cucu beliau untuk duduk bersama di Kampung Berisu. Alhamdulillah,berkat jasa, bakti, kesabaran, kasih sayang dan ketegasan beliau semasa mendidik dan membesarkan anak-anak dan cucu-cucu beliau, kini masing-masing telah berjaya dalam kehidupan.
Di Singapore (2010) |
07.04.2013 (AHAD)
Aku bersama Nur Farah pulang ke kampung untuk menghabiskan sesi latihan memandunya dan mahu melawat atuk di kampung. Habis sesi latihan kami pulang ke kampung dan rumah masing2. Uncle Zam dan Cik Dewi juga turut berada di kampung ketika itu, untuk melawat dan mandikan atuk. Ketika itu aku lihat, atuk kelihatan kurang bermaya dan tubuhnya agak lemah. Sayu aku melihat atuk pada ketika itu. Apabila masuk sahaja waktu Zuhur, aku mengambil air untuk atuk berwudu' bagi menunaikan solat. Atuk masih lagi berdaya pada masa itu untuk mengangkat tangan untuk membasahkan muka, tangan kiri dan kanan, rambut dan telinga. Semuanya di buat dengan sendiri. Hanya kaki sahaja aku tolong basahkan. Aku amat kagum dengan kekuatan atuk untuk menunaikan kewajipannya walaupun dalam berkeadaan sebegitu.
Aku biarkan atuk bersolat dan aku juga turut menunaikan solat Zuhur. Sesudah itu aku sempat membacakan surah Yasin di telinga atuk supaya Allah memberi kekuatan dan sentiasa bersama atuk. Atuk hanya mendengar sambil menutupkan mata. Tamat aku membaca yasin. Atuk berkata pada aku "kim, pergilah makan dulu". Aku pun mengiyakan dan berlalu untuk makan tengah hari. Selera atuk pada masa itu sudah berkurangan dan hanya makan sedikit sahaja dan minum air.
Menjalani pembedahan bypass jantung di IJN (2007) |
Ketika aku berada di ruang tamu bersama atuk, atuk memanggil aku dengan nada yang perlahan. "kim, tolong ambilkan selimut biru dalam bilik itu" aku tanpa berlengah lagi terus menuju ke bilik dan mengambil selimut yang di minta. Aku letakkan selimut itu di dada atuk sambil tangannya berada dibawah selimut itu juga. Sejak kebelakangan ini atuk sentiasa berasa sejuk walaupun cuaca panas di luar.Tanpa aku sedari, itulah pertolongan dan bakti yang terakhir yang aku berikan pada atuk semasa hayatnya.
Pada jam 3.30 petang aku pun mahu berangkat pulang kembali ke Kuala Lumpur. Aku bersalam dengan atuk sambil mencium pipinya. "akim balik dulu tau atuk". atuk tidak berkata apa-apa dan hanya menganggukkan kepalanya sahaja. Aku keluar dari rumah untuk bersalam dengan uncle Zam, Cik Dewi dan nenek. Tanpa aku sedari aku masuk ke dalam kembali rumah semula dan bersalam sekali lagi dengan atuk. Tiba2 aku sedar yang aku dah salam atuk dua kali.
Setiba di Kuala Lumpur,jam 7.30 petang, waktu itu hujan dengan lebatnya, aku tidak sedar yang handphone aku berdering banyak kali sebab aku berada di court basketball pada masa itu. Setelah tamat perlawanan aku tengok telefon dan banyak miscall dari mak. dan mak menghantar msg yang mengatakan atuk sudah meninggal dunia. Aku tergamam seketika, macam tidak percaya pada msg itu. Sebab aku baru sahaja pulang dari kampung dan melihat atuk pada petang itu. Tiba2 pada malam itu, atuk sudah tiada bersama aku lagi. dan tanpa berlengah lagi aku terus ke rumah dan bersiap terus balik kampung. Hujan mengiringi perjalanan aku dari Kuala Lumpur. Di dalam perjalan itulah yang aku sedar, atuk yang aku cintai sudah tiada lagi.
Menurut nenek, sekitar jam 6.00 petang, setelah aku, uncle Zam, Cik Dewi dan Amirul pulang ke tempat masing2, atuk menyuruh nenek pasang lampu, sebab gelap katanya. Matanya selalu melihat jam di dinding seakan-akan, atuk tahu masanya sudah hampir tiba. Nenek sentiasa berada disisi atuk pada ketika itu dan pada jam 6.30 petang atuk pergi dengan tenang dan menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi orang yang disayanginya.
Gambar Hari Raya terakhir bersama arwah atuk (Raya 2012) |
Atuk dan Nenek (Raya 2005) |
Menziarah kubur atuk (Raya 2013) |
Sama-sama kita Sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah atuk. Semoga Rohnya dicucuri Rahmat dan di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
AL-FATIHAH
HJ HASHIM BIN HJ ABU BAKAR (1934-2013)
Tkasih Hakim kerna post mu yg x dpt Abh nk tulis se indah coretan mu akn jasa dan kebaikan Atuk kpd anak2 dan cucu2 nya. Semoga Allah swt sahaja yg akn dpt membalas jasa insan yg mulia ini dan kita semua dpt mencontohi akn perjuangan hidupnya yg tulus dan ikhlas - Al-Fatihah!
ReplyDeleteMudah-mudahan kita sama2 dapat memperingati dan mencontohi perjuangan hidupnya. InshaAllah. Al-Fatihah
Deleteatok hashim sgt baik dgn saya..tulisan nya jgk cantik,,,berangkai rangkai...sayang atok hashim..al fatihah.....
ReplyDelete